Tuesday, April 3, 2012

Aku dan Mimpi: Mengapa Aku?

Dia lelaki tidak seagamaku dan sekelasku semasa sekolah menengah dahulu.
Dek kerana mimpi itu satu permainan tidur, aku tidak pasti jika itu benar-benar dia.
Aku mendengar desas-desus bahawa dia disuruh menikah, namun atas pilihan siapa aku kurang mengerti.
Dan aku mendapat tahu bahawa wanita yang bakal dinikahinya itu adalah aku.
Seluruh rakan sekelas lamaku menjadi haru biru, mengapa aku? Mengapa aku? Mereka seakan tidak percaya.
Aku seperti hilang punca, betapa kecilnya diriku, aku mereka persoalkan. Mengapa aku?
Suatu pertemuan menemukan kami sekelas lagi. Aku nampak kelibatnya, namun dia tidak memandangku.
Bukan tidak ingin memandang, namun seolah-olah aku tiada di situ.
Biarpun aku cuba mengelakkan diri daripada bertembung dengannya, namun di hatiku aku ingin dia perasan akan kehadiranku.
Aku mengeluh dan ingin menangis. Dua orang rakan menghantarku pulang. Seorang daripadanya menghantarku sehingga ke perkarangan rumah.
Dia cuba memujuk hatiku yang pilu dan memintaku bersabar. Aku masih bertahan pada saat itu.
Namun sesuatu yang ku nampak di hadapan mataku dan mengingatkan aku tentangnya, membuatkan aku menghempasnya jauh lalu berderai air mata.
Kali ini, aku benar-benar menangis. Rakanku itu hanya duduk di tepi sambil menenangkanku.

P/s: Kebiasaannya, misalnya aku mimpi merintih dengan tangisan, aku akan terbawa-bawa tangisan itu sehingga menyebabkan aku terbangun dari tidur, seakan mengigau.
Namun kali ini pelik, aku terbangun tetapi tidak menangis. Namun kesakitannya masih terasa. Aku beristighfar.
Dan sempat juga terfikir di benakku, “Ah kalaulah benar-benar aku disuruh berkahwin dengannya, dia tak mahu pun aku tak kisah”. Hehehe … you know what I mean.
Tapi apa yang dapat aku simpulkan di sini, ego dan maruahku yang tercabar sebenarnya.
Kesakitan itu bukan datang kerana aku mencintainya tetapi dia tidak dapat membalas cintaku.
Tetapi kesakitan itu datang oleh kerana rakan-rakanku yang lain merasakan aku tidak layak untuknya.
Dan lelaki itu juga seperti memperkecilkan kehadiranku. Begitulah rasa sakitnya yang sebenar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.